Tuesday, January 19, 2010

Al-Quran Sains Vs Al-Quran ICT?

Oleh: Khalid Yong, khalidyong@gmail.com http://kajian-quran.blogspot.com/

Pendahuluan

Alhamdulillah, bersyukur kita dapat bertemu lagi.

Pada siri yang lepas kita telah mengkaji bagaimana Al-Quran menjelaskan beberapa fenomena penting seperti ICT, komunikasi tanpa wayar, teori CEMI, kehilangan lebah-madu dan sebagainya. Kita juga telah mempelajari bagaimana bidang baru ilmu “Al-Quran dan ICT” ini mengkaji ayat-ayat Al-Quran iaitu yang berlandaskan “Al-Quran bi Al-Quran” dan dengan menggunakan konsep baru Muhkam/Mutashabih.

Kita juga telah melihat (dari perspektif ICT) kenapa ayat-ayat Quran hanya boleh dikaji berdasarkan “Al-Quran bi Al-Quran”, dan sama sekali tidak boleh menggunakan cara lain, sebab (sekiranya mengguna kaedah lain) akan menjadikan Al-Quran lari “aligment” dan hilang kemukjizatan. Kita lihat contoh konsep “amalan solehan” dan “Amil (zakat)” yang begitu penting tetapi telah menjadi tidak berfungsi sehingga umat Islam pada hari ini tidak mampu untuk mempertahankan diri sendiri, apatah lagi memerintah dunia.

Insyaallah, apabila kita tamat mengkaji ayat-ayat dari surah Az-Zaariyat (51:1-11), kita akan dapati maseh banyak lagi hukum-hukum yang belum kita laksanakan mengikut kahendak Al-Quran sehingga membuatkan umat Islam lemah dan ditindas, sedangkan Barat telah lama melaksanakan konsep-konsep dan teknologi yang dianjurkan Al-Quran sehingga mereka menjadi bangsa khaira ummatin dan mampu memerintah dunia.


Al-Quran bi Al-Quran

Sekali lagi ditegaskan dari perspektif ICT, ayat-ayat Al-Quran hanya boleh dikaji berdasarkan Quran bil-Quran, secara total, secara menyeluruh. Ibu makna atau “makna muhkam” mestilah dibuat berdasarkan kahendak ayat-ayat Quran yang lain. Namun “makna mutashabih” atau makna konsep boleh dibuat berdasarkan ilmu pengetahuan yang tinggi, dan akal yang sempurna.

Pakar-pakar Hadith, Sains, ICT, perubatan, perundangan, pentadbiran, atau kejuruteraan boleh mengkaji dan memberi “makna mutashabih” dan menjana ilmu terbitan (derived knowledge) mengikut kepakaran masing-masing, dan akal yang sempurna. Makna mutashabih atau makna konsep inilah yang akan berkembang-biak, yang menjana sumber ekonomi baru, tamaddun baru, senjata baru, dan sebagainya.


Contoh: Bagaimana Al-Quran Mengembang Ilmu

Sebagai contoh kita ambil ayat 51:1-4 (yang telah kita kaji sebelum ini) telah berjaya mengembangkan ilmu dari “ilmu alam” seperti angin, awan, kapal, dan malaikat kepada “ilmu ICT” iaitu komunikasi tanpa wayar (transceiver, code generator, microwaves, dan computer), kepada “ilmu neurologi” bagaimana sel-sel otak bekerja dan berkomunikasi (neuron, neurotransmitters, electromagnetic, foton), kepada “ilmu epistemologi” bagaimana manusia tahu, faham, belajar iaitu memahami sesuatu, memberi makna, memberi nilai, berfikir, dan bertindak (intelligence and consciousness), dan sebagainya.

Tidakkah kita melihat betapa hebatnya ayat-ayat Al-Quran! Betapa hebatnya Allah SWT mengajar manusia menjana ilmu. Betapa hebatnya cara Al-Quran bil-Quran dan konsep muhkam/mutashabih! Tidakkah kita melihat betapa sempurnanya kejadian Allah SWT? Bagaimana hebatnya Allah menjadikan setiap makhlukNya, bagaimana hebatnya Al-Quran sehingga dapat menjadi sesuai untuk sepanjang zaman hingga ke hari akhirat, dapat memberi hidayah, menjana ilmu demi ilmu, dan dapat memberi berita gembira kepada umat Islam! Maha Suci Allah.

Saya harap mungkin ada di antara kita yang sudah dapat “melihat” Al-Quran adalah sebuah “super-super-super computer”, yang dapat menjelaskan segala sesuatu. Dapat melihat lautan ilmu di dalam Al-Quran. Namun, agak malang, kalau kita tidak mempunyai sebarang kepakaran, tidak ada ilmu pengetahuan yang mendalam dalam sesuatu bidang, sebab ianya akan menyebabkan kita terpaksa bekerja keras membuat pelbagai rujukan dan kajian.

Sebagai contoh bagi alim ulama dan pakar-pakar bahasa Arab, mereka terus faham (tak sampai 1 minit pun) ayat 51:1&3 mengguna nahu al-maf’ulul mutlaq, tetapi bagi saya memerlukan masa 2-3 bulan untuk merujuk dan mengkaji konsep dan fungsi nahu “al-maf’ulul mutlaq” sebelum saya dapat mengeluarkan makna muhkam atau “ibu makna” ayat-ayat tersebut. Apabila saya faham makna muhkam maka agak mudah bagi saya mengeluarkan “makna mutashabih” atau “makna konsep” mengikut kepakaran yang ada pada saya.

Bagitu juga ketika merujuk Quranpedia, atau mencari makna perkataan, “zara” (51:1) berdasarkan ayat-ayat lain, saya terpaksa menggunakan komputer, merujuk pelbagai tafsir, pelbagai kamus dan leksikon. Tetapi bagi mereka yang pakar dan hafal Al-Quran, sudah tentulah ianya satu kerja mudah, “kacang puteh” atau “chicken feed” saja.


“Al-Quran/Sains” Vs “Al-Quran/ICT”

Adakah bidang baru ilmu “Al-Quran dan ICT” ini satu gimik, glamour, dan publisiti murah? Kan dah ada “Al-Quran dan Sains”, buat apa nak kelirukan orang-ramai dengan “Al-Quran dan ICT”?

“ICT” di sini tidak sama seperti apa yang difahami oleh kebanyakan orang awam. Kebanyakkan mereka menganggap ICT itu adalah laptop, tetikus, microsoft word, powerpoint, excel, access, internet, email, facebook, dan sebagainya.

Apa yang kita maksudkan “Al-Quran dan ICT” ialah dari segi asas, konsep dan pendekatan. Al-Quran iaitu secara deduktif, sama seperti ICT, tetapi berlainan dari Sains (berbentuk induktif). Al-Quran mengajar ilmu kepada manusia secara sistematik iaitu bermula dengan segala nama, kemudian membina konsep, diikuti oleh cadangan (proposisi), membuat prototaip, dan akhir sekali membina skema. Kaedah ini adalah sama dengan kaedah pembelajaran ICT: Names => Concepts => propositions => prototypes => schemas. Tidak seperti Sains yang lebih berbentuk pemerhatian dan inferens. Pendekatan ICT adalah “Top-down”, sementara pendekatan Sains adalah “Bottom-up”.


ICT = Deduktif, dan Sains = Induktif

Perkara yang paling asas yang perlu kita tahu ialah pendekatan ICT adalah berdasarkan metod deduktif atau “top-down” sedangkan pendekatan Sains adalah induktif atau “bottom-up”. Anda tidak akan dapat membina perisian atau sistem komputer secara induktif. Tetapi anda mengkaji fenomena sains menggunakan induktif.

Di dalam Sains anda membuat pemerhatian (observation), dan kemudian membuat kesimpulan (inference). Misalnya anda memerhatikan lori bergerak perlahan, maka anda membuat kesimpulan (inference) bahawa lori itu membawa muatan yang banyak (berat, maka bergerak perlahan). Tetapi di dalam ICT anda tidak boleh buat begitu.

Sementara pula ICT mesti menggunakan hukum, peraturan atau premis. Sebagai contoh untuk membuat perisian “peperiksaan matematik berkomputer”. Anda mesti tahu terlebih dahulu formula atau peraturan yang hendak diprogram. Misalnya X+Y=Z. Jadi anda mesit tahu hukum campur (+) dan hukum sama-juga (=). 2+3=5, 4+9=13, dan sebagainya. Anda tidak boleh pakai teka saja, tidak boleh agak-agak saja, tidak boleh ikut selera sekejap 2+3=5, dan sekejap lagi 2+3=6.

Secara ringkasnya, ICT menggunakan kaedah deduktif, kaedah hukum/peraturan atau premis, sama seperti kahendak Al-Quran. Sementara Sains menggunakan kaedah pemerhatian, inferens, atau agak-agak sahaja, dan jelas sekali berlawanan dengan kaedah Al-Quran.


Mampat

Keduanya, Al-Quran adalah kitab yang dimampatkan (compressed) 10 lautan-dakwat ilmu ke dalam satu buku (Al-Quran) sebesar 500 m/s atau kira-kira 6326 ayat sahaja. Konsep ini sama seperti ICT mampatan 30 jilid Ensaiklopedia Britanica ke dalam satu keping DVD, atau seperti mampatan video dalam talian (network) dari 3MB kepada hanya kira-kira 0.3 MB.

Tetapi kaedah Sains adalah disebaliknya iaitu merungkai dari yang padat kepada yang longgar seperti merungkai besi kepada atom, neutron, proton, dan elektron.


Rujukan (cross-referencing)

Oleh kerana Al-Quran dimampatkan, maka ianya menggunakan kaedah yang amat sistematik dan canggih misalnya untuk saling rujuk-merujuk dan jelas menjelas antara satu ayat kepada ayat yang lain seperti “User Manual”, “Quranpedia”, “Index”, “primary key”, dan sebagainya.

Tetapi di dalam Sains tidak ada konsep “cross-referencing” misalnya atom tetap atom, tidak kira atom oksigen atau atom hidrogen, atom helium, dan sebagainya. Semuanya sama, tidak menjelaskan atau berkait dengan atom-atom lain. Dan setiap atom ini mempunya sifat-sifatnya yang unit dan tersendiri seperti berat, jumlah proton, jumlah orbit elektron, dan sebagainya.

Sekarang kita sudah tahu dan faham bahawa Al-Quran itu kitab yang dimampatkan (compressed), kita juga mesti tahu bahawa setiap ayat-ayat Al-Quran itu pula di "tumpatkan" (condensed or high density) atau dipadatkan, atau dalam bahasa saikologi di panggil "mindfulness".


Mindfulness (Ketarasedara atau TumpatSedar?)

Bagi pakar saikologi, mereka biasa dengan konsep “mindfulness” iaitu konsep yang telah dialih bahasakan menjadi “Ketarasedar” dalam B. Melayu. Maafkan saya kerana terpaksa “membetulkan” sedikit istilah atau makna beberapa perkataan seperti “Ketarasedar” adalah lebih tepat “consciousness” bukannya mindfulness, dan “sedar” pula adalah lebih tepat “awareness” dan bukannya consciousness. Oleh yang demikian saya lebih suka (dan mungkin lebih tepat) “mindfulness” pula adalah “tumpatsedar” atau "padatsedar".

Untuk mengelakkan kekeliruan saya akan menggunakan perkataan dalam bahasa Inggeris. Saya rasa mungkin DBP harus mengkaji semula penggunaan atau pengalihbahasa perkataan dari bahasa asing ke dalam bahasa Melayu.

Mengikut kefahaman saya, konsep “Mindfulness” ialah satu proses pengawalan kemasukkan tenaga dan maklumat ke dalam otak manusia (a process to control the flow of energy and information into your brain). Ianya adalah satu proses ICT. Yang penting di sini ialah “information density” atau “ketumpatan maklumat” atau “jumlah tenaga dan maklumat” yang masuk ke dalam otak dan minda manusia yang membuatkan manusia "mindful".

Kembali kepada topik asal: Sains vs ICT. Al-Quran adalah “tumpat dan padat”, cuba lihat pada ayat 51:1 (dan mana-mana ayat di dalam Al-Quran). Walaupun hanya 3 patah perkataan, tetapi ianya mengadungi makna, tafsiran, dan ilmu yang amat tumpat, padat, solid, dan mendalam yang boleh dijadikan beratus-ratus jilid buku. Keadaan ini adalah sama seperti komputer (atau ICT) yang mana kita simpan beratus-ribu buku, video, muzik, dan sebagainya di dalamnya.

Jadi ayat ini amat "tumpat", amat "padat". Al-Quran adalah “mindful” (atau lebih tepat mind-full), tumpat, padat, penuh, solid, kemas, sempurna, dan menyeluruh sama seperti ICT (komputer).

Contoh: “Mindful” – ICT vs Sains

Sebagai contoh. ICTist (atau programmer) apabila mereka-cipta layar-paparan (screen) untuk kemasukkan data, mereka mesti “mind-full” iaitu melihat secara “tumpat”, secara “menyeluruh” kepada setiap ruang, setiap inci layar-paparan (screen), misalnya penjuru kanan atas mesti diletak tarikh, penjuru kiri diletak nama program, ruang tengah adalah tempat kemasukkan maklumat seperti nama, alamat, poskod, pekerjaan dan sebagainya.

Tetapi bagi Saintis, mereka mungkin berminat mengkaji dibahagian penjuru kiri sahaja, mereka perhatikan betul-betul setiap kali paparan dibuat. Mereka perhatikan warna, saiz huruf, dan sebagainya.

Kesimpulan

Kali ini kita melihat perbezaan “Al-Quran dan Sains” dan “Al-Quran dan ICT”. Terdapat banyak perbezaan antara keduanya.

Al-Quran adalah merupakan “super-super computer”, jadi untuk memahaminya kita mestilah menggunakan pendekatan ICT (pendekatan komputer).

Al-Quran adalah kitab yang dimampatkan, dan setiap-ayatnya adalah ditumpatkan, dipadatkan dan solid. Oleh yang demikian, apabila kita mengkaji ayat-ayat Quran kita mestilah ingat ianya mempunyai makna dan ilmu yang amat luas dan mendalam, hanya dengan menggunakan konsep "tumpatsedar" atau "mindapadat" atau “mindful” sahaja kita akan dapa mengeluarkan rahsia yang terkandung di dalam setiap ayat Quran.

Wallahu a'lam.



3 comments:

  1. assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam hormat.

    ReplyDelete
  2. Waalaikumussalam warahmatullahi wabarakatuh wa jazakallahu khairan kathiran

    ReplyDelete
  3. Assalamu'alaikum...bpk, saya Nengsih mahasisw1 Universitas Negeri Padang (Indonesia). Subhanallah saya sangat terkesan dengan tulisan bapak tentang Al-quran, sains, dan ICT.
    Maaf pak, saya mau bertanya bisakah bapak memuat tulisan tentang membuat apliksai yang menggunakn teknologi ICT.
    dan bagaimana pandangan bapak penggunakan teknologi sekarang ini????
    terimakasih...
    wassalam....

    ReplyDelete