Thursday, January 2, 2014

Centrifugal Force: Allah SWT Meletakkan Matahari/Bulan di Tempat Yang Salah?

Pengkaji/pengarang: Khalid Yong, Qur'analyst   akhalidyong@gmail.com

Alhamdulillah bersyukur kerana dapat bertemu lagi. Selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, seluruh ahli keluarga baginda, para sahabat, dan seluruh umat Islam. Kita teruskan lagi siri mengkaji ayat-ayat Al-Quran dari perspektif ICT atau perspektif komputer. Alhamdulillah semakin hari semakin ramai para jurutera, saintis, ICTist, doktor, pensyarah, pelajar, dan orang awam yang semakin yakin dengan janji-janji Allah iaitu Al-Quran menjelaskan segala perkara, dan segalanya diterangkan dengan jelas, mendalam, lagi terperinci. Kita doakan semoga Allah SWT membuka hati mereka yang masih ragu-ragu dengan Al-Quran.



Pada siri yang lepas kita mengkaji kehebatan Al-Quran menjelaskan ilmu ICT (komputer) yang paling terkini, yang paling canggih "Knowledge Representations" (perwakilan ilmu) iaitu satu ilmu yang sedang rancak dikaji dan diperdebatkan oleh para saintis dan ICTist diseluruh dunia. Mereka sekarang sedang meneroka alam baru iaitu bagaimana membina "kepintaran buatan" (artificial intelligence) kedalam DNA, sel-sel, organ-organ, komputer, robot, pelbagai peralatan canggih dan sebagainya.

Orang-orang bukan Islam terutama yahudi dan nasrani semakin jauh maju kehadapan mempelupuri ilmu-ilmu yang telah dijelaskan dalam Al-Quran, tetapi malang sekali umat Islam menjadi semakin mundur dan terkebelakang sebab angkara segelintir ulama "juhalak" yang tidak mahu menggunakan akal fikiran mereka (yang kufur kepada arahan Allah SWT dalam ayat Al-Anfal 8:22) tetapi terlalu sibuk berburuk-sangka dan melaga-lagakan sesama umat Islam sehingga tidak ada masa untuk mengkaji ayat-ayat Al-Quran.

Sekiranya umat Islam mengkaji ayat-ayat Al-Quran maka umat Islam akan menjadi umat terbaik "khaira ummatin" sebab semua penemuan dan kehebatan barat seperti E=mc2, wireless communication, dark matter/energy, nanoteknologi, piezoelectric, peiroelectric, centrifugal force, centripetal force, recursive, artificial intelligence, knowledge representation, expert system, knowledge base system, dan sebagainya semuanya telah dijelaskan di dalam Al-Quran dengan jelas lagi terperinci.



Ilmu ICT Agak Abstrak Tetapi Lebih Mudah dari Ilmu I'rab

Pada siri lepas kita sentuh sepintas lalu tentang "knowledge representation" (KR) iaitu satu cabang ilmu artificial intelligence yang agak abstrak, dan sukar difahami. Namun begitu ilmu-ilmu ICT ini adalah lebih mudah dari ilmu I'rab (bahasa Arab) sebab walaupun abstrak namun masih lagi bertanda (misalnya dengan X, atau Y, atau Z). Dalam ilmu i'rab ianya lagi sukar sebab kadang-kadang langsung tidak ada sebarang tanda misalnya "hazaf/mahzuf". Cuba lihat pada ayat-ayat yang kita kaji sebelum ini misalnya 2:1-2, 51:1-4, dan lain-lain lagi.

Misalnya pada ayat 2:1 "alif-lam-mim". Mubtadanya "mahzuf" (dibuang). Cuba lihat pada ayat-ayat 51:1-4 fi'lun (verb) dibuang (mahzuf). Apabila kita faham konsep "functional language" seperti bahasa komputer maka lebih mudah kita faham ilmu i'rab sebab dalam bahasa komputer terdapat konsep "variables" yang mana boleh menerima pelbagai parameter.

Kebolehan menerima parameter dalam penggubah (variable) dan melakukan tukar-ganti-ulang (rekersif) untuk mencapai sesuatu tujuan (menjana ilmu dan teknologi) tidak terdapat dalam bahasa-bahasa manusia lain selain dari bahasa Arab (klasik) dan bahasa komputer. Oleh yang demikian ayat-ayat seperti 2:1-3, 11:1-2, 13:1-2 dan 51:1-4 akan nampak statik dan kaku apabila kita cuba memahaminya dalam konteks bahasa manusia biasa sebab tidak faham konsep "jumlah ismiyyah" dan "jumlah fi'liyyah".

Misalnya pada ayat 51:1 kalau kita tidak faham ilmu i'rab maka kita tidak nampak apa yang "mahzuf" (yang dibuang) tetapi apabila kita faham i'rab maka kita tahu ayat 51:1 adalah "jumlah fi'liyyah" maka kita terus nampak yang dibuang adalah "kerja" (verb). Maka salah satu dari ilmu yang hendak disampaikan kepada kita ialah terdapat banyak cara dan metod untuk menjana EMW! Masyaallah, masyaallah, masyaallah! Hebatnya Al-Quran!

Kita tinggal dulu ilmu yang abstrak ini dan kembali berbincang ilmu-ilmu yang lebih mudah difahami.


Al-Quran Menjelaskan Ilmu Tenaga "Centrifugal dan Centripetal"

Saya bukanlah ahli fizik, namun pada tahun lima di MRSM (Maktab Rendah Sains MARA) dan juga tahun pertama di universiti dulu ada belajar serba sedikit tentang "centrifugal dan centripetal force". Ilmu-ilmu ini adalah amat penting kepada pakar-pakar pembuat pesawat, roket, jet, trek formula-1, roller coaster, dan sebagainya.



Sekiranya kita tidak faham ilmu tentang "tenaga menjauh keluar dari pusat" (centrifugal force) dan "tenaga ke dalam mencari pusat" (centripetal force) maka kita akan gagal membina misalnya lebuhraya yang baik dan selamat, membina padang permainan "roller coaster" yang baik dan selamat, dan sebagainya.

Pada siri kali ini kita akan mengkaji ayat-ayat Al-Quran yang menjelaskan ilmu kejuruteraan yang amat penting ini, insyaallah.


Ayat 13:1-2 Menjelaskan Centrifugal Force

Antara ayat-ayat yang akan kita kaji ialah dari surah Ar-Ra'd 13:1-2. Seperti mana biasa, siri kajian "ICT dan Al-Quran" akan menggunakan metod QbQ (Al-Quran bil-Quran) di mana ayat-ayat Al-Quran akan dikaji menggunakan kaedah yang dijelaskan di dalam Al-Quran.

Secara ringkas: Surah Ar-Ra'd ini dimulakan dengan huruf-huruf qat'i (huruf ringkas) "Alif-Lam-Mim-Ra" iaitu ilmu-ilmu yang disampaikan secara simbol, secara perwakilan (representasi) seperti "Az-zikr" (sebutan/peringatan), usul-usul perbandingan (propositions), dalam bentuk hukum (rules), jaringan makna (semantik), dan sebagainya. Dalam ayat pertama 13:1 ini juga dinyatakan ramai manusia yang tidak mempercayainya (tidak akan beriman).



Pada ayat ke-dua 13:2 Allah SWT menjelaskan Dia yang telah meninggikan langit tanpa tiang, dan "kemudian Dia bersimetri di atas arasy, kemudian Dia meletakkan matahari dan bulan pada tempat yang salah (bukan pada tempat yang sepatutnya) ....."

Kaji dan lihat makna perkata "sakhira/yaskhuru" yang makna kamusnya ialah "mengejek, memerli, mencemuh" (to make fun, to joke, to mock). Sebagaimana yang kita bincang dahulu, perkataan bahasa Arab adalah "researcheable", iaitu kita boleh cari makna dan penggunaan asal perkataan tersebut. Perkataan "sakhira/yaskhuru" telah diberi makna "mengejek" sebab hasil daripada perletakkan sesuatu benda atau seseorang pada tempat yang salah, pada tempat yang tidak sepatutnya. Misalnya kita letakkan orang bodoh duduk semeja dengan pakar-pakar sains atau pakar-pakar ekonomi, maka orang itu akan kelihatan janggal (out of place) dan akan menjadi bahan ketawa, jenaka dan persendaan.



Cuba kaji ayat 13:2 ini, tumpukan lebih perhatian kepada "... thummastawa ala arasy, wa sakhkhara shamsa wal qamar ...". Kebanyakkan kitab terjemah akan menerjemah " ...dan Dia telah menundukkan matahari dan bulan". Namun sekiranya kita kaji dengan lebih mendalam ianya membawa makna "dan Dia telah meletakkan matahari dan bulan pada tempat yang salah (bukan pada tempatnya)". Sila lihat dan kaji diagram di atas.

Pada ayat 13:2 ini juga terdapat ayat yang mana para ulama mengatakan ayat "mutasyabihat" iaitu "Allah bersemayam di atas arash". Mereka bergaduh dan bersengketa sesama sendiri membahaskan cara Allah duduk, tempat Allah duduk, dan sebagainya. Dari segi metod QbQ semua ayat Al-Quran adalah ayat mutasyabihat dan semuanya sekali juga adalah ayat-ayat muhkamat. Namun ada beberapa ayat yang dikategorikan sebagai ayat "ma-tasyabaha-minhu" iaitu ayat yang mana Allah SWT telah menyamakan sifat-sifat makhluk dengan zatNya. Salah faham inilah telah menjuruskan kepada banyak perbalahan dan persengketaan sesama para ulama yang akhirnya mengheret sama para pengikut masing-masing sehingga menjadi satu pertelingkahan besar!


Pergaduhan Sesama Ulama: Ayat "Ma-tasyabaha-Minhu" vs ayat "Mutasyabihat"

Pada siri-siri sebelum ini saya telah jelaskan pengkelasan ayat-ayat Al-Quran (dalam metod QbQ) iaitu ayat-ayat "Muhkamat", ayat-ayat "Mutasyabihat", dan ayat-ayat "Ma-Tasyabaha-Minhu". Pengkelasan ayat-ayat ini dibuat mengikut apa yang telah dijelaskan di dalam Al-Quran, bukannya mengikut selera kahendak saya sendiri. Kita wajib yakin dan percaya bahwa Al-Quran menjelaskan segala perkara termasuklah cara-cara mengkaji ayat-ayat Al-Quran. Dan kita juga wajib yakin dan percaya bahwa kesemua ayat-ayat Al-Quran adalah "mubin" (jelas dan terang), dan tidak ada satu pun yang tidak jelas, yang kelabu asap, yang samar-samar, atau yang mengelirukan. Oleh yang demikian sekiranya ada yang mengatakan ayat-ayat mutasyabihat itu adalah ayat-ayat yang samar-samar atau yang meragukan maka sesungguhnya ianya telah kufur (engkar) dan amatlah menyesatkan. Ayat-ayat mutasyabihat adalah ayat-ayat hudan, adalah ayat-ayat petunjuk yang mengeluarkan manusia dari kegelapan kepada cahaya, yang menjadikan umat Islam umat terbaik.


Namun ada segelintir yang mengatakan ayat-ayat mutasyabihat adalah ayat-ayat yang samar-samar, yang mengelirukan dan tidak boleh dibincang. Perkataan "mutasyabihat" itu sendiri tidak pernah bermakna "samar-samar atau kelabu asap", tetapi bermakna "yang sama atau yang serupa atau yang seakan-akan" (assimilating, making similar, likening) iaitu berasal dari perkataan "shabaha" yang diulang sebanyak 12x dalam Al-Quran. Tambahan lagi pada ayat Az-Zumar 39:23 Allah SWT menyatakan dengan jelas bahwa ayat-ayat mutashabihat adalah ayat-ayat petunjuk "zaalika hudallah", bukannya ayat-ayat yang mengelirukan atau yang kelabu asap.

Padahal Allah SWT mengatakan semua ayat-ayat Al-Quran adalah jelas "mubin" dan tidak ada yang mengelirukan, tidak ada yang apa jua sebarang keraguan, sebarang kesangsian, sebarang kelabu asap, dan sebagainya. Allah SWT menyuruh umat Islam mengkaji semua ayat-ayat AL-Quran, yang dilarang ialah membahaskan zatNya, "fa ammalaziina fi qulu bihim zaighun fayattabi'uuna ma-tasyabaha-minhu ibtigha alfitnah wabtigha atta'wiilih" (orang-orang yang di dalam hati mereka ada kesesatan maka mereka akan mengikut (membahaskan) apa yang Allah SWT samakan denganNya (zat dan sifat) kerana mahu mencari fitnah (membakar api pergaduhan sesama sendiri) dan mencari-cari takwil (asal-usul permulaan) Allah SWT. Ayat-ayat "mutasyabihat" (penyamaan atau penyerupaan) yang di "ma-tasyabaha-minhu" (yang disamakan dengan zat dan sifat Allah SWT) ini tidak banyak, oleh itu tidak bolehlah dikatakan ayat-ayat mutasyabihat itu adalah ayat-ayat yang samar-samar atau yang meragukan.

Mereka berbahas tentang perkara-perkara yang dilarang iaitu tentang zat dan sifat-sifat Allah SWT ada yang bergaduh tentang tangan Allah, tentang wajah Allah, tentang arasy Allah, tentang Allah turun ke bumi dan sebagainya. Mereka kata Al-Quran itu bukan makhluq wal-hal Allah SWT sendiri yang menegaskan bahwa Al-Quran itu adalah benda yang dijadikan, adalah makhluk. Terdapat perpuluh-puluh nusus (dalil) Al-Quran seperti ayat 43:3 (Kami yang menjadikan Al-Quran ...), 41:44 (Kami yang menjadi Al-Quran ...), 85:22 (Al-Quran bertempat di luh-mahfuz), 15:9 (Al-Quran dijaga oleh Allah), 26:11 (Allah tidak serupa dengan apa jua pun), 6:103 (tidak ada sebarang makhluk yang dapat membuat gambaran tentang Allah), dnsbnya yang menjelaskan bahwa Al-Quran itu adalah makhluk dan bukannya tuhan (atau zat Allah).

Al-Quran adalah kitab petunjuk, adalah hudan, bukannya untuk disembah dan dipuja sebagai tuhan, untuk dijadikan azimat menjauhkan bala dan bencana, menghalau hantu dan syaitan, dan sebagainya. Al-Quran adalah "worldview" (basha-ir) untuk seluruh manusia, adalah sumber ilmu pengetahuan, adalah petunjuk hidayah (guidence) untuk melihat realiti alam ini, dan melihat bukti kewujudan Allah SWT yang Esa lagi maha perkasa, sebagai sumber dan penjana ilmu dan teknologi untuk melakukan amalan-solehan (kaizen, continuous improvement) untuk mengeluarkan manusia dari kegelapan kepada cahaya, untuk menjadi umat Islam yang terbaik "khaira ummatin", dan menjadi hakim teradil di dunia "ummatan wasatan".



Persengketaan Semakin Meluas: Disurau/Masjid-akhbar-internet-youtube!

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini internet terutamanya youtube menjadi medan utama perkembangan dakwah dan ceramah agama. Pada saya ini adalah perkembangan yang amat sihat misalnya kita boleh belajar bahasa Arab dan i'rab melalui internet. Belajar melalui internet adalah lebih mudah sebab kita boleh susun jadual pembelajaran mengikut masa yang sesuai dengan kita dan ianya boleh diulang-ulang banyak kali. Beberapa youtube yang agak baik untuk belajar i'rab seperti oleh Ust. Zaharudin Nawi, Ust. Abd. Raheem, Ust. Abdullah Endut, Ust. Rushdi, dan lain-lain. Selepas belajar dari youtube kita hendaklah merujuk kepada para ustaz dan ulama sebab kadang-kadang kita mungkin tersalah faham.


Namun, ada juga unsur-unsur yang agak kurang baik misalnya terdapat segelintir ulama yang kelihatan menggunakan medan youtube untuk berperang sesama sendiri. Ini amatlah memalukan sebab para ulama adalah sumber perdamaian dan bukannya sumber dan punca perpecahan. Oleh yang demikian kita harapkan JAKIM akan memainkan peranannya untuk mereda dan menjernihkan semula suasana yang semakin keruh ini. JAKIM sendiri mestilah jujur dan adil, nestilah menjadi contoh kepada seluruh umat Islam iaitu mendahulukan Al-Quran dan tidaklah bertaqlid kepada ilmu-ilmu para ulama terdahulu sahaja. Para ulama JAKIM mestilah terlebih dahulu mempraktikkan "wa'tasimuu bi hablillah" (bersatu-padu dan berpegang teguhlah dengan tali Allah iaitu kitab Al-Quran) dan menghindarkan perselisihan yang jauh "lafi siqaaqim ba'iid". Mereka sendiri mestilah mengkaji ayat-ayat Al-Quran dan As-sunnah, menapis hadith-hadith yang bercanggah dengan ayat-ayat Al-Quran yang menyebabkan banyak kekeliruan dan persengketaan, dan sentiasa menjana ilmu-ilmu baru dari Al-Quran untuk melahirkan umat Islam yang berfikir dan mengkaji, bukannya umat Islam "robot" yang hanya tahu bertaqlid membabi-buta sahaja, yang tidak mahu membuka telinga, tidak mahu berbincang, dan tidak mahu berfikir iaitu seburuk-buruk makhluk yang melata!



Orang-orang bodoh, orang-orang yang tidak mahu menggunakan akal-fikiran, tidak mahu mendengar dan tidak mahu berbincang tentang hasil kajian ayat-ayat Al-Quran, adalah makhluk yang paling buruk dan jahat. Mereka inilah yang menghancurkan Islam, kafir-mengkafir, berperang dan bunuh-membunuh sesama sendiri. Lihatlah apa yang terjadi di negara-negara Islam seperti Mesir, Syria, Palestine, Libya, Afghanistan, Pakistan, dan sebagainya. Yang menjadi mangsa ialah kanak-kanak, wanita, dan orang-orang tua. Kadang-kadang terfikir juga di kepala saya apakah punca sebenarnya kepada segala bencana yang amat menghina ini? Apabila saya mengkaji Al-Quran, terdapat jawapannya agak jelas, tetapi ramai yang tidak bersetuju dengan Al-Quran???


Marilah kita semua kembali semula kepada Al-Quran dan As-Sunnah. Mari kita sama-sama kaji ayat-ayat Al-Quran, dan sekiranya tidak ada jawapan di dalam Al-Quran kita merujuk kepada As-Sunnah, Ijmak dan Qiyas.


Azab Hina: Perbuatan Yahudi/Nasrani atau Perbuatan Sendiri?

Mari kita kembali kepada Al-Quran dan kaji kenapa umat Islam ditimpa dengan azab yang begitu menghina dan memalukan? Adakah ianya pekerjaan orang-orang yahudi dan nasrani atau hasil pekerjaan tangan-tangan umat Islam itu sendiri? Apabila dikaji di dalam Al-Quran tentang "azab-azab menghina lagi memalukan" maka banyak sekali ayat-ayat yang menjelaskan ianya adalah kerana manusia itu telah mengutamakan kesasatan dari petunjuk hidayat (ayat-ayat Allah).



Misalnya dalam ayat Fussilat 41:17 (di atas) bagaimana kaum thamud dilontarkan dan dimusnahkan dengan lontaran dan henteman petir. Lihat apa yang berlaku di kebanyakkan negara-negara Islam sekarang, mereka telah dihancurkan dengan hentaman bom, peluru, dan sebagainya. Di dalam ayat ini juga dijelaskan azab  dan bencana kehinaan itu datang sebab perbuatan umat itu sendiri, bukannya sebab hasil jahat dari kaum atau bangsa lain. Kenapa kita asyik menuduh orang lain misalnya yahudi dan nasrani? Kenapa kita tidak melihat kepada diri kita sendiri, apa yang telah kita kerjakan sehingga menjemput datang segala bencana dan kehinaan?


Azab Hina Sebab Engkar Kepada Allah dan RasulNya

Sekiranya kita terus mengkaji dan menyelidik, maka Al-Quran memperincikan lagi kesalahan umat manusia sehingga menjemput bala dan bencana yang menghina. Pada ayat Al-Ahzab 33:57 Al-Quran menyatakan sesiapa yang menyakiti Allah dan rasulNya maka Allah akan melaknat mereka dengan azab yang amat hina lagi memalukan.


Cuba kita kaji pada umat Islam sekarang adakah kita mengikut apa yang disuruh Allah dan rasulNya atau sebaliknya? Allah SWT suruh umat Islam mengkaji ayat-ayat Al-Quran, tetapi kita tidak mahu bersungguh-sungguh mengkaji kitab Al-Quran. Malah yang lebih teruk lagi sekiranya ada orang yang mengkaji kitab Al-Quran maka kita cuba memperlekehkannya, cuba mempersendakannya; kita mencari-cari pelbagai kesalahan dan kelemahannya bukannya sama-sama membantu dan bekerjasama, sama-sama memperbetulkan kesalahan dan kesilapannya dan sama-sama memperkukuhkan lagi hasil kajiannya.

Cuba kaji pada hadith Nabi SAW yang dicatit di dalam Al-Quran pada ayat Al-Furqan 25:30. Kenapa Allah SWT tidak membiarkan Abu Hurairah atau imam Bukhori atau imam Muslim sahaja yang menulis hadith ini tetapi sebaliknya memilih untuk mencatatnya sendiri di dalam kitab Al-Quran? Kenapa Nabi Muhammad mengadu perkara ini (iaitu umat Islam menjadikan Al-Quran benda yang ditinggalkan, benda yang tidak dikaji) kepada Allah SWT sedangkan pada waktu itu para sahabat semuanya memberi perhatian yang tinggi dan istemewa terhadap kitab suci Al-Quran?


Engkar Kepada Nabi Muhammad SAW

Pada hari ini umat Islam hampir kesemuanya patuh kepada suruhan rasul Nabi Muhammad SAW seperti solat, berpuasa, berzakat, mengerjakan haji, baca Quran, mengerjakan umrah dan sbagainya. Apa lagi yang kita tidak lakukan sehingga mengundang bala bencana yang amat menghinakan? Mari kita lihat sepintas lalu ayat 25:30 yang menjelaskan kenapa umat Islam berada dalam kegelapan. Di dalam hadith ini (yang dicatit di dalam Al-Quran), Nabi Muhammad mengeluh dan mengadu kepada Allah SWT sebab kaumnya (umat Islam) menjadikan kitab Al-Quran sebagai benda yang ditinggalkan.


Cuba kita kaji dan perhatikan apa yang berlaku pada hari ini. Cuba pergi ke masjid-masjid dan surau, perpustakaan-perpustakaan Islam dan lihatlah kepada deretan kitab-kitab Al-Quran di dalam almari dan di atas rak-rak, cuba pergi ke setiap rumah orang Islam dan banci berapa buah kitab Al-Quran dan kitab Yasin yang mereka simpan. Cuba tanya kepada ustaz, bilal, imam-imam masjid di antara beribu-ribu umat Islam yang datang ke masjid berapa ramai antara mereka yang membuka kitab-kitab Al-Quran untuk membuat kajian. Cuba tanya lagi sekiranya ada yang datang untuk membuat kajian, adakah masjid-masjid mempunya peralatan yang cukup (untuk mengkaji dan mendalami Al-Quran)?

Inilah yang dikeluhkan oleh Nabi Muhammad SAW di dalam ayat 25:30, iaitu umat Islam telah menjadikan Al-Quran hanya sebagai perhiasan dan bukannya sebagai sumber ilmu. Dan seterusnya sila kaji ke atas ayat-ayat berikutnya iaitu ayat 25:31,32,33, dan 34. Cuba lihat ayat 25:31 iaitu jawaban Allah SWT kepada keresahan Nabi Muhammad di mana Allah SWT menjelaskan mereka memperlekehkan (meninggalkan) Al-Quran dianggap sebagai musuh kepada Nabi. Lihat ayat 25:32-33 Allah menjelaskan tentang kehebatan kitab Al-Quran dari segi susun-atur ayat-ayat dan bagaimana teknik "pendedahan" (tafsir) ilmu kepada manusia. Apabila umat Islam meminggirkan Al-Quran maka mereka tidak akan nampak kehebatan dan mukjizat Al-Quran. Lihat pada kesimpulan ayat (25:34) bagaimana kesan dan akibat dari perbuatan manusia yang engkar kepada Allah dan rasulNya (menjadikan kitab Al-Quran benda yang ditinggalkan); mereka menerima penghinaan bukan sahaja di dunia malah berpanjangan sehingga ke akhirat nanti.



Banyak Nusus (dalil dari Al-Quran) Azab dan Kehinaan Sebab Meninggalkan Al-Quran

Yakin dan percayalah bahawa kitab Al-Quran mengandungi ayat-ayat yang jelas (mubin) iaitu tidak ada ayat-ayat yang samar-samar atau yang kelabu asap atau yang meragukan. Yakinlah bahwa kitab Al-Quran adalah lengkap lagi sempurna, menjelaskan segala perkara dan sebuah kitab yang amat menakjubkan. Sebab itu Allah SWT dan rasulNya amat murka dan marah apabila manusia memperlekeh dan merendah-rendahkan kehebatan Al-Quran. Lihatlah betapa banyak ayat-ayat Al-Quran (selain dari hadith-hadith Nabi) yang menjelaskan kenapa umat Islam menjadi hina-dina, kenapa umat Islam diturunkan mala-petaka yang amat buruk lagi menghina.


Tuan-tuan dan puan-puan kaji sendirilah kitab Al-Quran ini. Dengan membuat kajian sendiri maka kita akan dapat berfikir sendiri siapa yang benar dan siapa yang salah. Dengan berfikir sendiri kita akan dapat melihat kehebatan dan ketinggian kitab Al-Quran sebagai sumber rujukan dan penyelesai masalah. Allah SWT menyatakan pada ayat AL-Anfal 8:22 makhluk yang paling terkutuk dan terhina adalah mereka yang tidak mahu berfikir tetapi hanya mahu bertaqlid (menerima pakai sesuatu pendapat tanpa merujuk kepada ayat-ayat suci Al-Quran).




Maka dengan mendengar (membuka telinga) dan berbincang (membuka mulut), dan berfikir serta mengkaji (menggunakan akal-fikiran), maka kita telah dapat menunaikan perintah Allah SWT seperti yang dikahendaki pada ayat 8:22 ini. Di zaman internet dan youtube ini terlalu banyak ilmu-ilmu dan ajaran yang tersebar dengan begitu meluas. Sekiranya kita tidak merujuk kepada kitab Al-Quran maka mudahlah kita terpesong dan terpengaruh dengan ilmu-ilmu yang sesat dan karut-marut. Alangkah ruginya kita sekiranya kita mati dalam keadaan "menjadikan Al-Quran sebagai benda yang ditinggalkan".




Marilah kita semua kembali kepada kitab Al-Quran yang penuh dengan ilmu dan mukjizat. Marilah kita patuh kepada segala ajaran dan suruhan Allah SWT dan rasulNya. Alangkah ruginya sekiranya kita bukan sahaja diseksa di dunia ini malah akan terus diseksa sehingga ke hari kiamat nanti sebab tindakkan kita sendiri meninggalkan kitab suci Al-Quran.


Wallahu a'lam.

Bersambung .... insyaallah



9 comments:

  1. Salam Tuan Khalid..sy sgt berterima kasih kerana melalui info2 hasil kajian tuan,telah membuka suatu ruangan baru utk pemuda seperti sy bereksplorasi dgn Kitab Maha Agong Al-Quran..Alhamdulillah Allahuakbar!

    ReplyDelete
  2. Paku dulang paku serpih,mengata org dia yg lebih

    ReplyDelete
  3. Terjemahan secara literal:Dan berkata rasul yaarabbi sesungguhnya kaumku mereka mengambil ini al-quran mahjuura(n) QS25:30.

    Mohon jasa baik saudara tolong perjelaskan maksud dan makna 'mahjuura(n)' dan siapa yang dimaksudkan dengan 'kaumku' itu. Adakah termasuk mereka yang membaca dan mengkaji Al-Quran setiap hari? Atau dalam lain perkataan yang sedang memakainya dan tidak tinggalkannya itu adalah mereka yang sah bukan dari kaumnya. Juga apa bukti bahawa ayat ini merupakan keluhan serta aduan dan bukan perkataan penyesalan atau terkilan. Terima kasih dan semoga diberkati segala usaha dan amalan murni saudara.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Tuan Zul,

      Soalan tuan amat baik, mencabar, agak berat (teknikal), juga sensitif. Sila betulkan sy sekiranya tersalah.

      Perkataan "kaum" di sini sudah tentu merujuk kepada orng2 Islam (umat Muhammad). Sekiranya "waw" pada permulaan ayat 25:30 ini adalah "waw atof" maka ianya merujuk kpd para alim ulama yg telah menerima dan memahami Al-Quran dgn lengkap dan sempurna. Sekiranya "waw istiknaf" maka ianya bermakna semua umat Islam.

      Sementara "mahjura" pula dari perkataan "hajara-yahjuru" yg bermakna meninggalkan atau menjauhkan (to keep away from, to desert, to abandon). Sekiranya "waw" pada permulaan ayat adalah "waw atof" maka "mahjuran" adalah "maf'ulumbih ke-2", dan sekiranya "waw istiknaf" maka ianya boleh jadi "hal" sebab kebanyakkan org yg jahil Al-Quran akan "mengambil Al-Quran secara sambil-lewa sahaja". Tambahan pula kejahilan mereka akan membuatkan mereka tdk tahu bagaimana untuk "menjadikan Al-Quran sebagai benda yg ditinggalkan".

      Sekiranya "mahjuran" adalah "maf'ulumbih ke-2", maka "kaum" itu merujuk kpd para alim ulama sebab mereka tahu tentang Al-Quran, tahu bagaimana memutar-belitkan ayat2 Quran, dan umat Islam yg jahil pula memang yakin dan percaya kepada syarahan dan kata-kata manis mereka. Orang2 jahil ini amat takut apabila diugut dengan seksaan neraka, dan amat teruja apabila digula-gulakan dgn pahla yg banyak bertimbun2.

      Sekiranya kita kaji ayat ini bersama2 dgn ayat 35:32, maka org2 yg sentiasa mgkaji Al-Quran akan diselamatkan olih Allah SWT malah kedudukan mereka akan menjadi semakin kukuh dan teguh. Mereka ini adalah manusia yg terpilih (mustofa) sekalipun mereka menzalimi diri sendiri (tersalah semasa membuat kajian) dan akan masuk syurga tanpa dihisab.

      Sekiranya kita mengkaji bersama2 dgn ayat 47:24-25 "mengapa kamu tdk mahu mengkaji Al-Quran, adakah terdapat penutup pada hati kamu? ..." maka kita akan dapati pada hari ini memang banyak pun penutup-penutup hati ini. Hanya para alim ulama saja yg pandai merekacipta pelbagai buku sebagai "penutup" hati, mereka kata buku-buku itu adalah pelengkap Al-Quran, tidak bolih kaji Al-Quran tanpa buku ini ... tidakkah ini merupakan "penutup hati" yg menjauhkan umat Islam dari Al-Quran?

      Wallahu a'lam.

      Delete
  4. Saya memaham segala ilmu dunia yg dikaji manusia terangkum dlm ungkapan pendek Allah swt "qad ja'ala Allahu likul lisyai inqadra", 65:3.

    ReplyDelete
  5. Inilah ayat (65:3) dan beberapa ayat lain yg menjelaskan konsep "Qadar" atau apa yg kita panggil "Qada' dan Qadar". Semua makhlukNya ada "kadar" atau kemampuan masing-masing (spesifikasi). Allah SWT tidak masuk campur dalam urusan makhlukNya (namun Dia maha mengetahui segalanya) sebab Dia telah menurunkan Al-Quran untuk menjelaskan segala perkara. Segala hukum dan peraturan kehidupan dijelaskan di dalam Al-Quran, pilih saja mahu yang mana ... mahu ke syurga atau ke neraka!

    Sesiapa yang ikut hukum dan peraturan yg dijelaskan dlm Al-QUran akan selamat (masuk syurga) dan sesiapa yg engkar akan masuk ke neraka.
    Wallahu a'lam.

    ReplyDelete
  6. AsSalamualaikum. Tuan

    Saya sedang meneliti 2 ayat di bawah dan mencari QbQ nya. Pohon bantuan tuan.
    Terima kasih

    Bawalah kepadaku ketul-ketul besi"; sehingga apabila ia terkumpul separas tingginya menutup lapangan antara dua gunung itu, dia pun perintahkan mereka membakarnya dengan berkata: "Tiuplah dengan alat-alat kamu" sehingga apabila ia menjadikannya merah menyala seperti api, berkatalah dia: "Bawalah tembaga cair supaya aku tuangkan atasnya".

    (Al-Kahfi 18:96)
    Dan
    ( Sabaa 34:11)

    Terima kasih.

    ReplyDelete
  7. Puan Khalina Abdan,

    Syabas, kajian puan amat baik dan menarik sekali. Semoga ianya akan menjadi pendorong kpd para pencinta Al-Quran utk sama-sama berfikir dan mengkaji. Soalan puan ialah untuk mencari QbQ (Quran bil-Quran) antara ayat 34:11 dan 18:96. Jawapannya agak panjang (beberapa chapter tetapi saya cuba ringkaskan).

    TIGA syarat utama utk mengeluarkan lapisan ilmu (menafsir) dari Al-Quran menggunakan metod Quran bil-Quran (QbQ). Per-1 Menggunakan B. Arab, ke-2 Org yg mendalam ilmu “Ulu albab”, dan ke-3 ialah kaedah yg dijelaskan Al-Quran (metod QbQ).
    1) B. Arab: Di dalam BA itu sendiri terdapat petunjuk (hudan) yg membolehkan kita QbQ misalnya “mubtada/khabar”, “muta’alliq/muta’allaq”, “hazaf/mahzuf”, “sifah/mausuf”, “atof/ma’tuf”, “fa-il/maf-ul”, “qasam/jawab”, dnsbagainya. Semua ini tdk ada dlm bahasa-bahasa lain, namun konsepnya mudah difahami sekiranya kita faham ilmu ICT seperti kepintaran buatan (artificial intelligence), knowledge base system, expert system, dnsbagainya. Oleh yg demikian cuba kaji dan perhatikan ciri-ciri ini.
    2) Ulu-albab: Org yg ada kepakaran tertentu akan mudah nampak QbQ apabila mengkaji dan meneliti makna lexicon, semantik, proposition, predikate, perlokusinary, pragmatik, dan sebagainya.
    3) QbQ: Semua makna2 dan kahendak ayat boleh dikaji mengikut kaedah dan penjelasan Al-Quran (QbQ) itu sendiri misalnya makna “aayaat” (representation), makna mutasyabihat (makna konsep), proposition dan predikat, dan sebagainya.
    Dalam ayat 34:11 terdapat beberapa usul (proposition)seperti makna dan kahendak “amalan solehan” (penambah-baikkan), “pembuatan baju pertahanan atau keselamatan”, “suruhan agar sentiasa mengukur kesesuaian semasa dan melakukan penambah-baikkan”, dnsbagainya.

    Untuk ayat 18:96 pula, saya fikir lebih baik di QbQ dgn ayat 18:95 dan 18:97. Pada ayat 18:95 disebut perkataan “radman” yang mana istilah “raddama/tardiim” bermaksud membuat sejenis pakaian (to patch a garment). Pada ayat 18:96 terdapat terjemahan “gunung” padahal tdk ada perkataan “gunung” pun dalam ayat ini sebab gunung selalunya “jibal” atau “rawasi”. Perkataan “sodafaini” bukan bermakna “puncak dua gunung” tetapi lebih tepat kepada “puncak dua daya tolakan” sebab ianya ber “muta’allaq” dengan perkataan “zubaral hadiid”.

    Lihat dan kaji perkataan “zubaral hadiid” yg diterjemah sebagai “ketul-ketul besi” yg mana boleh diperhaluskan lagi dgn lebih tepat "lapisan-lapisan besi magnet yang kuat" (zubara juga bermakna "to repel with strength or coded-power").
    Maka lebih masuk akal apabila disuruh tiup "unfukhuu” kepada struktur-struktur jalinan kecil ini sehingga menjadi “api”. Cuba bayangkan bagaimana mungkin timbunan besi setinggi gunung mampu ditiup untuk menjadi api?

    Saya fikir ini sudah terlalu panjang, insyaallah saya akan kembangkan jawapan ini dalam episod akan datang. Sekali lagi ucapan terima kaseh kpd Puan Khalina Abdan.

    Wallahua’lam.

    ReplyDelete
  8. saya hanya ingin berucap terimakasih atas share ilmu nya. semoga berkah,,,
    saya jadi terinspirasi untuk ikut menghidupkan al Qur'an di dunia maya. semoga saya bisa istiqomah untuk berbagi tema-tema tulisan berbasis al Qur'an. ini beberapa tulisan yang sudah di posting http://asbabunnuzulquran.blogspot.com/p/daftar-isi.html

    ReplyDelete