Followers

Tuesday, June 9, 2015

Seminar Al-Quran ke-7 di ILIM, Bangi, Malaysia

Pengarang: Khalid Yong, Qur'analyst.

Alhamdulillah syukur kehadrat Allah SWT kerana telah mengizinkan kita semua bersua kembali di alam maya ini. Semoga para pembaca dan pengkaji ayat suci Al-Quran dan hadith-hadith Nabi SAW semuanya berada dalam sihat wal-afiat, dan semoga Allah SWT sentiasa meredai dan memberi petunjuk kepada kita semua. Mudah-mudahan kita semua akan dapat meninggikan semula syiar Islam, terutama di zaman ICT, zaman ledakan ilmu dan informasi yang amat mencabar ini, insyaallah. Marilah kita para profesional (protaz) dan para ustaz yang profesional (uspro) sama-sama berganding bahu, berpadu tenaga, bersatu fikrah  menggalas tanggung-jawab untuk mengembalikan kegemilangan Islam melalui kitab suci Al-Quranul Karim seperti yang disuruh oleh Allah SWT.




Insyaallah kita akan sambung lagi perbincangan dalam bidang "ICT dan Al-Quran" ini, dan bersyukur kehadrat Allah SWT kerana Dia telah memilih kita untuk terus berkhidmat kepada agamaNya dan berjuang meninggikan syiar Islam melalui kitab Al-Quranul Karim yang maha agong yang sarat dengan segala jenis ilmu pengetahuan dan juga dengan As-Sunnah Nabi Muhammad SAW. Apabila Metod QbQ ini berjaya, insyaallah IPTA/IPTS di Malaysia khasnya dan seluruh negara Islam amnya akan mempunyai satu prasarana ilmu baru yang membolehkan mereka menjana ilmu-ilmu yang hebat, canggih lagi terkehadapan yang terkandung di dalam kitab Al-Quranul Qarim, dan insyaallah hasrat kerajaan untuk membolehkan IPTA/IPTS bersaing dengan universiti terhebat di dunia akan menjadi kenyataan. 


Insyaallah saya akan membentangkan satu kertaskerja "Al-Quran Menguak Fenomena Komunikasi Tanpa Wayar" pada satu seminar anjuran Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) iaitu Seminar Al-Quran ke-7  Sempena Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Antarabangsa tahun 2015 akan diadakan pada 11hb Jun 2015. Sesiapa yang berminat bolehlah menghubungi pihak penganjur Ustaz Meeftah Anuar 03-8921 8500 atau 019-230 3720.

Bersyukur kita semua kehadrat Allah SWT kerana penat-lelah selama 8 tahun mengkaji Al-Quran dari perspektif ICT ini semakin diterima baik oleh orang-orang awam, para akademik, para ulama, para asatizah, para pemikir, para du'a (pendakwah), para profesional, dan yang lebih penting ialah oleh pihak berkuasa. Alhamdulillah. 



Pada ayat surah Al-Jaathiyah 45:9 Allah SWT memberi amaran kepada sesiapa yang memperlekehkan segala ilmu-ilmu dan penemuan-penemuan baru dari Al-Quran maka akan dibawa kepada mereka ini azab yang menghina. Kita harap umat dan ulama Islam akan bersedia untuk bersama-sama dengan para profesional dalam meninggikan lagi syiar Islam, dalam membina semula umat Islam yang amat dhaif dan hina sekarang ini. Sekiranya apa yang kami buat ini salah, tidak betul dan sesat maka tolonglah kami, betulkanlah kami, bawalah semula kami ke jalan yang benar lagi diredai Allah SWT.


Method QbQ 100% Di Ambil Dari Al-Quran

Pada seminar ini saya menyentuh serba sedikit tentang Metod QbQ atau metod tafsir Al-Quran bil-Quran sepertimana yang dijelaskan di dalam Al-Quran dengan merungkai fenomena komunikasi tanpa wayar sebagai contoh. Metod QbQ ini bukanlah metod saya sendiri, bukanlah rekaan saya dan saya tidak menggunakan akal fikiran atau logik otak saya untuk mentakwil apa-apa untuk memenuhi selera dan nafsu sendiri. Ianya adalah 100% berdasarkan ayat-ayat Al-Quran, dan tidak ada apa-apa yang disembunyikan, atau dibesar-besarkan. Semua ditunjuk dan dijelaskan agar para pembaca dapat mengkaji dan menyemak serta menelitinya sendiri.


Metod QbQ ini adalah satu revolusi dalam sejarah penafsiran dan pengkajian ayat-ayat Al-Quran. Walaupun saya bukan orang-orang yang berpendidikan formal agama, namun saya telah mengkaji dan menganalisa berjuta-juta lines of codes dan pelbagai dokument canggih dan sistematik sepanjang lebih 30 tahun kerjaya ICT; di mana 22 tahun saya habiskan mengkaji dokumen hasil ciptaan manusia dan sekarang genap 8 tahun mengkaji dokumen ciptaan Allah SWT tuhan sekalian alam. Sepanjang kerjaya, saya juga pernah menulis berpuluh-puluh buku panduan atau "User Guide" tetapi hampir kesemuanya dalam bentuk "description" dan "prescription", dan tidak pernah dalam bentuk secanggih dan sehebat kitab Al-Quran. 




Sekiranya para pembaca tidak percaya akan kehebatan penyusunan ayat-ayat Al-Quran, maka panggilah mana-mana pakar komputer yang pernah mengkaji pelbagai dokumen canggih dan pernah membuat pelbagai buku "panduan pengguna" atau "users guide" yang canggih insyaallah saya akan dapat menunjukkan dan membuktikan betapa hebat dan canggihnya susanan ayat-ayat Al-Quran. Saya amat yakin dan percaya tidak akan ada manusia atau mana-mana pakar komputer yang akan dapat menandingi AL-Quran.





Dalam surah Yunus 10:58 Allah SWT memberi arahan kepada orang-orang beriman agar hendaklah mereka bergembira sebab kitab Al-Quran adalah lebih baik dari segala-gala kitab. Dengan arahan ini maka umat Islam wajid sentiasa mengkaji dan menjana ilmu, teknologi, dan ekonomi dari Al-Quran. Lihat kepada industry komputer dunia yang bernilai lebih RM15 trilion setiap tahun maka sepatutnya umat Islam menjana sekurang-kurangnya 10-20% dari hasil tersebut iaitu kira-kira RM 2 trilion setiap tahun dan jumlah ini adalah hampir 3x ganda jumlah GDP Malaysia (RM 800 bilion). 





Cuba lihat perbelanjaan kerajaan Malaysia untuk komputer adalah berjumlah RM62 bilion, dan lihat pula pada kemampuan MDec yang hanya RM34 bilion iaitu hanya separuh dari yang diperlukan padahal tujuan MSC atau MDec ditubuhkan adalah untuk menjadi ICT sebagai sumber utama ekonomi negara. Oleh yang demikian marilah kita sama-sama menjayakan dasar dan usaha kerajaan ini dan memenuhi maqasid syariah.




Saya yakin dan percaya sekira para ulama dan para profesional terutamanya saintis dan ICTis dapat bergabung tenaga dan fikiran, maka negara malaysia akan sekali lagi dapat mencipta sejarah dalam peradaban dunia Islam iaitu membina metod QbQ. Dan dari Metod QbQ ini kita dapat membina prasarana ilmu untuk menaikkan imej IPTA dan IPTS. Kita harapkan pihak berkuasa akan bersungguh-sungguh melihat dan mengkaji Metod QbQ ini dan akan dapat menjadikannya sebahgian dari usaha dan rancangan pembangunan Indeks Maqasid Syariah.



Indeks Maqasid As-Syari'ah

Sejak mendapat kemerdekaan yang dimulakan dengan Tunku Abdul Rahman, diikuti dengan Tun Abdul Razak, Tun Husein Onn, Tun Mahathir Muhammad, Tun Abdullah Badawi, dan kini di bawah pimpinan DS Najib Tun Razak dasar-dasar negara sentiasa selari dengan kahendak dan pembangunan Islam. Ini adalah satu perkara yang patut semua rakyat Malaysia syukuri.



Semasa zaman pemerintahan Tun Mahathir Muhammad pembangunan dan perkembangan Islam amat pesat sekali. Dasar-dasar seperti "Amanah, Bersih, dan Cekap", "Pimpinan Melalui Teladan", "Pentadbiran Berkualiti TQM", "Wawasan 2020", "Penerapan Nilai-nilai Islam", "Multimedia Super Corridor", "Penafsiran Semula Al-Quran", dan lain-lain lagi adalah selari dengan kahendak Islam. Perkembangan yang amat pesat ini sudah tentulah memerlukan sistem perancangan dan pemantauan yang canggih dan sistematik, kalau tidak ianya tidak akan dapat dilihat setakat kejayaan (atau kegagalan).

Maka para pemikir di JAKIM, Yadim, dan UIAM telah bekerjasama untuk membina sistem pemantauan agar segala projek pembangunan Islam tidak terbengkalai dan membazir. Untuk itu dimulakan dahulu dengan Indeks Maqasid Syari'ah yang mana membolehkan umat Islam menyatukan fikrah dan mempadukan tenaga. 


Protaz: Kajian Al-Quran dan Penjanaan Ilmu  

Ramai para profesional yang kini berminat untuk sama-sama bergerak aktif berdakwah dan membangunkan Islam. Golongan ini telah diberikan nama "protaz" iaitu kumpulan profesional yang tidak melalui proses pendidikan agama Islam yang rasmi tetapi mahu melibatkan diri dalam bidang agama secara aktif misalnya berdakwah, menulis artikel-artikel agama, mengkaji hadis dan Al-Quran dan sebagainya.

Pada pendapat saya para protaz perlu mempelajari beberapa Ilmu asas agama sekiranya kita mahu menyampaikan sesuatu ilmu atau amalan tentang agama terutama kepada orang awam. Antara ilmu yang wajib kita pelajari ialah ilmu mabadik asas ilmu, ilmu usululfiq dan qawaid fiqhiyyah, serta maqasid syariah. Setelah kita faham ilmu-ilmu asas dan sekiranya kita mahu mengkaji Al-Quran dan Al-hadis secara serius dan mendalam maka wajib kita belajar bahasa Arab klasik (Arab Al-Quran) sehingga mahir ilmu nahu, sorof, dan i'rab.

Sekiranya kita tidak arif dalam bahasa Arab maka kita tidak akan mampu mengkaji dan menjana ilmu dari kitab Al-Quran. Kitab-kitab tafsir hanyalah berjaya memberikan kita makna-makna yang hampir sama, makna yang berdekatan, yang nampak serupa sahaja iaitu makna mutasyabihat.



Di dalam surah Al-Qamar 39:23 Allah SWT menjelaskan bahawa petunjuk atau guidance berada di dalam ayat-ayat mutasyabihat iaitu ayat-ayat yang hampir sama makna. Misalnya "terbang atau angin" dalam ayat 51:1, "awan" pada ayat 51:2 dan sebagainya. Ayat-ayat yang diambil makna secara mutasyabihat ini tidak mengandungi makna mendalam dan terperinci, tetapi hanya makna luaran atau "surface meaning" sahaja. Bagaimana mahu mendapatkan makna yang terperinci dan mendalam seperti "electron", "photon", "electromagnetic wave", dan sebagainya?


Makna yang mendalam terletak dan terselindung di dalam ayat-ayat muhkamat iaitu disebalik nahu bahasa Arab, disebalik sorof, i'rab, dan sebagainya. Inilah satu kepelikan dan keganjilan serta kehebatan Al-Quran bagaimana ia boleh menyusun makna "surface" dan makna "mendalam" di dalam satu ayat yang sama. Memilih dan menyusun perkataan-perkataan yang boleh membawa banyak makna dan makna yang mendalam ini bukanlah satu kerja mudah.

Gambarajah diatas menunjukkan struktur Al-Quran iaitu kesemua 6,236 ayat Al-Quran adalah ayat muhkamat dan kesemua 6,236 ayat Al-Quran juga adalah ayat mutasyabihat. Pelik bin hairan?



Format Al-Quran: "Hidayah" 

Saya telah menulis berpuluh-puluh buku panduan atau "user guide" tetapi tidak pernah terlintas dan terfikir menggunakan teknik seperti yang diajar dan ditunjukkan Al-Quran. Sebabnya buku panduan atau "buku hidayah" yang saya buat adalah khas untuk orang-orang tertentu sahaja, iaitu untuk para pengguna sesuatu sistem aplikasi yang sudah tahu subjek matter, iaitu untuk kegunaan (pembacaan) orang-orang yang sezaman dan bukannya untuk orang-orang 100 atau 200 tahun di masa akan datang. Misalnya saya buat buku panduan tentang cara-cara back-up data hanya sesuai untuk operator komputer tertentu sahaja dan ianya untuk kegunaan semasa sahaja, bukannya untuk 10 atau 20 tahun akan datang sebab selepas beberapa tahun buku panduan yang saya buat itu akan luput dan tidak berguna lagi.

Metod yang digunakan Al-Quran iaitu "hidayah" atau "pertunjukan" atau "guidance" adalah satu metod yang teramat pintar, teramat genius. Masyaallah, masyaallah, masyaallah! hebatnya Al-Quran! 

Pada siri-siri yang lepas saya sentuh serba sedikit tentang konsep "aayaat" atau "knowledge representation", dan tentang "rekersif". pada siri ini saya akan sentuh sedikit tentang "hidayah" atau pertunjuk atau guidance. Hendaklah diingat saya tidak membahaskan pelbagai jenis hidayah yang disyarahkan oleh para ustaz atau ulamak seperti hidayah masuk Islam, tetapi "hidayah" dari perspektif ICT atau komputer. 




Cuba perhatikan kepada gambarajah di atas. Ayat pertama di atas iaitu "ihdinas siratal mustaqim" adalah yang kita selalu baca, paling kurang 17x dalam sehari iaitu ketika solat wajib. Kenapa kita sentiasa meminta ditunjukkan jalan yang lurus? adakah ianya bermakna kita berada dijalan yang salah atau masih lagi sesat dan tidak betul, atau kitab Al-Quran itu banyak mengandungi kesusahan dan kesulitan, tidak jelas atau kenapa?

Sebabnya ialah Al-Quran itu diturunkan dalam bentuk hidayah, dan bukannya dalam bentuk descripsi dari satu topik ke topik yang lain seperti buku-buku yang kita belajar di sekolah-sekolah. Walaupun Al-Quran itu hanya mengandungi 6,236 ayat namun ianya mengandungi berjuta-juta "aayat" (sila rujuk siri-siri sebelum ini), berjuta-juta "hidayah", sehinggakan dengan hidayah ini kita boleh menjana lebih dari 10 lautan-dakwat ilmu! Bagaimana mungkin hanya dengan 6,236 ayat dapat menjelaskan segala perkara sehingga 10 lautan-dakwat ilmu?


Hidayah vs Description

Kebanyakkan buku-buku yang kita baca adalah dalam bentuk descripsi atau penjelasan dari topik ke topik. Tetapi Al-Quran menggunakan bentuk "hidayah" misalnya kita membaca sebuah peta untuk pergi ke sesuatu destinasi katakan perjalanan dari Ampang ke Pelabuhan Kelang. Berpandukan kepada peta itu kita boleh memilih beberapa pilihan misalnya melalui Mont Kiara dan Subang, atau MRR2, Bukit Jalil, Puchong, dan sebagainya. Kita tengok dan kaji jalan-jalan dan simbol-simbol pada peta itu kemudian kita membuat keputusan sendiri arah mana yang hendak kita ikut.




Walaupun analogi ini tidak berapa tepat namun saya berharap ianya dapat memberi sedikit gambaran tentang konsep "hidayah"; bagaimana hidayah itu boleh menyesatkan dan juga hidayah yang sama dapat membawa ke jalan yang lurus. Di dalam ayat Al-Baqarah 2:26 Allah memberikan contoh "hidayah" dalam bentuk makna "mithal" atau contoh perbandingan.




Sekiranya kita tersalah pilih "hidayah" maka kita akan tersesat, misalnya Ampang-MRR2-Bukit Jalil-Seri Kembangan-Bandar Baru Bangi, dan sebagainya. Kadang-kadang terus tersesat barat dan tidak sampai ke destinasi dituju.


"Hidayah" ini adalah terkandung di dalam ayat-ayat mutasyabihat iaitu ayat-ayat yang sama atau serupa makna. Dari "hidayah" ini akan membimbing kita kepada ayat-ayat  penjelasan terperinci dan mendalam iaitu ayat-ayat muhkmat. 


Bagaimana Al-Quran disusun?




Di dalam ayat Al-Furqan 25:31-32 Allah SWT menjelaskan bahawa ayat-ayat Al-Quran disusun dalam pelbagai lapisan yang begitu sistematik, canggih, dan terkehadapan. Dan cara untuk mengeluarkan ilmu yang mendalam lagi terperinci ialah dengan menggunakan konsep "tafsir" atau "pembukaan lapisan demi lapisan". Hendaklah kita ingat bahwa makna-makna mendalam tidak boleh dikeluarkan secara takwil. Lapisan-lapisan ini adalah terkandung di sebalik bahasa Arab iaitu di dalam nahu (grammar), sorof (morfology), dan i'rab (functions), kemudian ianya ditasrif (rekersif) dengan menggunakan "hukum" bahasa Arab.

Sekiranya tuan/puan para pembaca nampak ayat diatas berbelit-belit, tidak faham, dan menyusahkan maka jangan bimbang, insyaallah saya akan jelaskan dengan beberapa contoh.






Untuk keselesaan para pembaca saya copy lagi sekali gambarajah di atas. lihat kepada ayat ke-3 surah Al-Baqarah iaitu "Allaziina yukminuuna bil-ghaib ..." yang bermakna "dan orang-orang yang beriman kepada yang ghaib ..." yang maksud Al-Quran menjelaskan ilmu secara "ghaib" atau secara "abstract" secara "tidak nampak pada mata kasar". Walaupun begitu ianya memang wujud, memang ada, dan nampak jelas bagi mereka yang tahu kaedah bahasa Arab dan mereka pula mendalam ilmu (ulul-albab).

Tanpa kemahiran bahasa Arab seseorang tidak akan dapat mengeluarkan makna yang mendalam maka sebab itulah kemahiran bahasa Arab adalah menjadi syarat wajib bagi sesiapa yang mahu menggunakan Metod QbQ. 

Cuba lihat pula kepada ayat berikut iaitu "Alif-Lam-Mim zaalika al-kitab" yang bermakna "3 huruf iaitu Alif-lam-mim itu adalah sebuah kitab". Sudah tentu ramai yang tertanya-tanya apa maksud ayat ini, takkan 3 huruf saja sudah jadi kitab? Mana lagi 25 huruf? .... jawabnya yang 25 huruf itu adalah ghaib, abstract, dan tidak nampak! Adakah kita ragu-ragu?

Cuba lihat pula pada yang berikut "Alif-Lam-Mim la raiba fihi" yang membawa makna kitab Al-Quran yang 3-huruf tidak tidak ada sebarang keraguan, wajib kita yakin dan percaya ianya adalah sebuah kitab. 

Cuba lihat pula "Alif-Lam-Mim hudan lil-mutaqin" yang bermakna "alif-lam-mim itu adalah pertunjuk kepada orang-orang yang bertaqwa". Kepada sesiapa yang belajar nahu bahasa Arab mereka akan tahu dalam contoh satu "zaalikal kitab" itu adalah khabar pertama, dalam contoh kedua "laa raiba fihi" adalah khabar ke-2, dan dalam dalam contoh ke-3 "hudan lil-mutaqqin" adalah khabar ke-3.

Cuba lihat pula yang berikut "zaalikal kitab alif-lam-mim", dalam keadan ini "alif-lam-mim" pula yang berfungsi sebagai "khabar" iaitu "khabar muqadam" (khabar yang didahulukan).

Dan banyak lagi makna-makna yang boleh dikeluarkan secara hukum bahasa Arab. Penafsiran sebegini adalah tafsiran secara "ayat muhkamat".

Lihat kepada dua ayat seterusnya "Alif-Lam-Ra tilka aayatul kitabil hakim" yang bermakna "alif-lam-ra itu adalah kitab yang berhukum" maksudnya kitab Al-Quran ini adalah penuh dengan hukum-hakam bahasa Arab. Begitu juga dengan ayat berikutnya.


Muhkamat dan Mutasyabihat: Ayat yang Sama!

Cubalah lihat dari contoh di atas bagaimana "Alif-Lam-Mim" boleh membawa makna pada lapisan mutasyabihat dan dalam masa yang sama boleh juga membawa makna pada lapisan muhkamat. Inilah yang dikatan Al-Quran susunan yang berlapis-lapis. Lapisan muhkamat pula terdapat beberapa lapisan lagi iaitu pada nahu, sorof, dan i'rab. dan seterusnya. 

Makna yang mendalam berada di dalam lapisan-lapisan muhkamat ini, iaitu pada bahasa Arab.



wallahu a'lam. 


Bersambung .... insyaallah 


No comments:

Post a Comment