Followers

Friday, October 9, 2015

Khusyuk Solat: Mengaktif dan Mengimbang Otak Kiri dan Kanan

Pengkaji/pengarang: Khalid Yong, Quranalyst    email: akhalidyong@gmail.com


Salam sejahtera kepada seluruh para pembaca blog kajian Al-Quran dan pengkaji Al-Quran dan Al-Hadith yang dirahmati Allah SWT. Semoga kita semua sentiasa berada di bawah lindunganNya dan mendapat pentunjuk, hidayah, dan berada di jalan yang lurus.


Sesungguhnya kitab Al-Quran ini adalah benar-benar suatu mukjizat yang maha agong sebab ianya mengandungi dan menjelaskan semua ilmu, lebih dari 10 lautan-dakwat ilmu yang dikandungnya dan dijelaskan hanya dengan 6,236 ayat sahaja! Malah penjelasannya adalah mendalam lagi terperinci. Oleh yang demikian tidak sepatutnya umat Islam menjadi lemah seperti apa yang kita lihat pada hari ini. Dengan kitab Al-Quran ini umat Islam sepatutnya menjadi umat terbaik "khaira ummatin". Malang sekali umat dan ulama Islam pada hari ini adalah amat mundur dan terkebelakang sebab mereka tidak menjadikan kitab Al-Quran sebagai sumber ilmu untuk menapis dan mengharmonikan ilmu-ilmu moden dari Barat, dan mereka tidak lagi menjana ilmu sendiri untuk memakmur dan memajukan dunia Islam.


Insyaallah pada siri ini kita lihat bagaimana untuk solat itu dapat mencegah dari melakukan perkara keji dan mungkar iaitu melalui solat yang khusyuk. Untuk mencapai kekhusyukan dalam solat, maka kita mesti tahu bagaimana untuk mengamalkan ayat-ayat muhkamat iaitu yang berbentuk nahu atau hukum bahasa Arab, dan ayat-ayat mutasyabihat iaitu yang dalam bentuk metafora. Bila kita faham ayat-ayat yang kita baca dari segi makna muhkamat maka kita telah mengaktifkan daya otak kiri, dan apabila kita faham dari segi makna mutasyabihat maka kita telah mengaktifkan otak kanan iaitu daya imaginasi dan kreativiti. Dengan mengimbangi upaya kedua-dua otak ini maka manusia (insan) akan dapat mencapai kahendak dan tujuan pada ayat Al-Ankabut 29:45.

Syukur alhamdulillah dengan izin dan hidayah dari Allah SWT pada hari ini kita telah berjaya memahami kahendak ayat-ayat muhkamat dan mutasyabihat yang dapat membantu kita merungkai cara-cara bagaimana untuk mengkaji dan menjana ilmu-ilmu hebat dari kitab suci Al-Quranul Karim iaitu dengan menggunakan metod tafsir Al-Quran bil-Quran atau metod QbQ seperti yang dijelaskan oleh Allah SWT di dalam kitab Al-Quran. Kepada para pemikir dan pengkaji Al-Quran janganlah bimbang atau gusar untuk mengkaji kitab Allah ini sebab Allah SWT telah berjanji bahawa orang-orang yang sentiasa mengkaji ayat-ayat  Al-Quran ini adalah dikira hambaNya yang terpilih sebab mereka boleh mengeluarkan umat Islam dari kegelapan kepada cahaya dengan izin Allah SWT seperti yang tercatit pada ayat Fatir 35:32.



Tersalah Kaji Tetap Masuk Syurga

Kita ambil contoh mudah bagaimana sekalipun tersalah kaji namun sekiranya mereka ikhlas kerana Allah SWT maka akan tetap mendapat rahmah Allah dan akan masuk syurga sebab sentiasa mengkaji Al-Quran. Kita lihat kekhilafan dalam memahami konsep dan kahendak ayat-ayat muhkamat dan mutasyabihat telah menjadikan satu fitnah besar kepada seluruh umat Islam sehinggakan umat Islam jadi keliru dan tidak nampak akan kehebatan dan kemukjizatan Al-Quran. Sepertimana yang dijelaskan di dalam ayat Ali-Imran 3:7 iaitu berlaku fitnah di mana membaranya api permusuhan dan perseteruan yang hebat sehinggakan mereka sanggup bunuh-membunuh sesama sendiri. Puncanya sebab mereka terkhilaf dalam memahami konsep dan kahendak struktur dan lapisan "muhkamat" dan "mutasyabihat" ini. Perkara "fitnah" atau membaranya api permusuhan sesama Islam ini memang amat jelas terbukti dan berlaku pada hari ini, lihatlah di Mesir, Syria, Iraq, Sudan, Libya, Iran, Palastin, Afghanistan, Pakistan, dan sebagainya. Lihat dan kaji betul-betul, kenapa kita sentiasa menyalahkan orang lain misalnya yahudi dan nasrani? Kenapa kita tidak lihat dalam diri kita sendiri?



Kesan ke-dua dari tersalah tafsir konsep dan kahendak ayat-ayat muhkamat dan mutasyabihat ialah berlakunya takwil iaitu menafsir ayat-ayat Al-Quran sesuka hati iaitu tanpa menggunakan kaedah yang telah dijelaskan dan ditetapkan oleh Allah SWT. Mereka cuba mentakwil zat dan sifat Allah kononya Allah ada tangan, ada kaki, ada muka, bertempat, duduk di arasy, dan sebagainya. Padahal Allah SWT dengan jelas lagi terang-benderang melarang manusia mengkaji zat dan sifat Allah SWT sebab ianya adalah diluar qadar iaitu had kebolehan dan kemampuan manusia. Allah SWT suruh kaji alam ini (ayat-ayat kauniyah), dan kaji pula ayat-ayat Al-Quran (ayat Qauliyah).

Oleh kerana memahami ayat ini adalah tersangat penting, maka biar saya ulang banyak kali dan jadikan contoh untuk ayat Fatir 35:32. Allah SWT sudah mengatakan dengan jelas di dalam ayat 3:7 "barang siapa yang ada kekotoran (kejahatan) di dalam hati mereka maka mereka akan mengikut (memahami dan mengambil) contoh perbandingan (metafor) yang Allah samakan dengan makhlukNya untuk membuat fitnah (membakar api permusuhan dan persengketaan sesama umat Islam) dan mencari-cari takwil (mencari permulaan zat dan sifat Allah SWT sehinggakan sanggup menyamakan sifat-sifat lemah makhluk dengan sifat dan zat Allah yang Maha sempurna)". Oleh kerana sedikit kekhilafan para penafsir terdahulu iaitu ada yang membaca "ma-tasyabuh" iaitu secara "masdar" dan ada juga yang membaca "mutashabih" iaitu secara "isim fa'il" maka berlaku kesan buruk yang amat mendalam seperti yang telah dijelaskan. Sepatutnya "ma-tasyabaha-minhu" dibaca dengan secara hukum i'rab yang telah ditetapkan iaitu "fi'lul maadi" (past tense).

Apabila terkhilaf dalam tafsir maka mereka mengeluarkan hukum yang salah iaitu mencegah umat Islam mengkaji ayat-ayat mutasyabihat padahal sepatutnya umat Islam digalakkan mengkaji ayat-ayat mutasyabihat sebab ianya adalah ayat-ayat petunjuk (hudan)! Buat apa diulang-ulang baca "ihdinas siraatal mustaqim" setiap kali baca fatihah (dalam solat) tetapi diluar solat kita halang umat Islam mengkaji hidayah yang telah Allah berikan dalam kitab Al-Quran (iaitu ayat-ayat mutasyabihat).

Maka dengan salah tafsir ini menjadikan kitab Al-Quran terlalu sempit dan jumud, sehinggakan para ulama sendiri tidak nampak akan kehebatan Al-Quran menyimpan 10 lautan-dakwat ilmu, dan ada antara mereka sanggup kufur dengan Allah dengan begitu berani mengeluarkan perkataan-perkataan yang bertentangan dengan ayat-ayat Al-Quran seperti "Kitab Al-Quran tidak menjelaskan segala perkara", "Kitab Al-Quran kitab ijmal, kitab umum, kitab ringkas, tidak mendalam dan tidak terperinci".

Namun begitu walaupun mereka tersalah kaji dan sekiranya mereka tetap yakin (beriman) dengan Al-Quran maka mereka adalah dikategorikan sebagai hamba yang terpilih iaitu akan dapat masuk syurga dan bertemu dengan Allah SWT. Tetapi sekiranya mereka salah kaji dan dengan tersalah kaji itu mereka menentang ayat-ayat Allah misalnya mengatakan Al-Quran tidak lenfkap, Al-Quran tidak sempurna dan tidak menjelaskan segala perkara maka bersedialah mereka ini untuk menjadi penghuni api neraka!


Mutasyabihat (Metafor) Otak Kanan, Muhkamat (rules) Otak Kiri

Ahli sains dan para saikologi telah mengkaji atribut, fungsi dan cara-cara otak bekerja dengan mendalam dan mereka telah membahagikan otak kepada dua bahagian iaitu otak kiri dan otak kanan. Kedua-duanya memainkan peranan yang berbeza. Secara ringkasnya Otak kiri adalah untuk kerja-kerja berfikir hal-hal mendalam dan terperinci, sementara otak sebelah kanan pula bertugas untuk melihat sesuatu perkara secara umum, global, konteks, dan pertalian. Sekiranya kita perhatikan agama Islam adalah lengkap dan sempurna iaitu di dalam solat kita selalu baca doa semasa duduk antara dua sujud iaitu " Rabbigh firli, warhamni, wajburni ..." (ya Allah ampunilah saya, dan kasihanilah saya, dan seimbangkanlah saya (iaitu sempurnakanlah akal dan kehidupan saya) ...". Mungkin ramai di antara kita yang tidak memberi perhatian kepada bacaan doa hebat ini yang diajar oleh baginda Nabi Muhammad SAW. Maka saya harapkan selepas ini kita semua akan lebih fokus dan khusyuk dalam solat. Ingat! Bila kita baca "wajburni" maka terbayang dibenak kepala kita kedua-dua belah otak kiri dan kanan agar amalan solat menjadi satu latihan otak (minda) yang amat baik dan berkesan untuk melahirkan insan yang seimbang, dan agar solat kita itu benar-benar dapat men
cegah kita dari melakukan perkara keji.


Sudah tentulah kita tidak boleh berpuas-hati dengan hanya membaca doa tanpa membuat sesuatu untuk menjadikan diri kita manusia yang sempurna iaitu yang seimbang, kita mestilah juga sentiasa berusaha. Maka sebab itulah Allah SWT menjelaskan betapa pentingnya khusyuk ketika dalam solat. Dengan khusyuk dalam solat kita sebenarnya melatih dan mengimbangkan akal-fikiran iaitu antara otak kanan dan otak kiri. Yang sebenarnya konsep dan kahendak khusyuk dalam solat ini tidaklah susah sangat, kita hanya perlu tahu dan faham apa yang kita sedang baca. Oleh itu sekiranya kita boleh faham ayat-ayat Al-Quran dalam bentuk muhkamat dan juga dalam bentuk mutasyabihat maka kita sudah menepati kahendak khusyuk.

Kita tidak perlu bersusah payah membezakan yang mana satu ayat muhkamat dan yang mana satu pula ayat mutasyabihat sebab secara automatik setiap ayat Al-Quran itu bersifat "muhkamat" dan juga "mutasyabihat". Seluruh 6,236 ayat Al-Quran itu adalah ayat-ayat muhkamat (rules based), dan seluruh 6,236 ayat itu juga adalah mutasyabihat (hudan, petunjuk, contoh-perbandingan, metafor). Konsep ini amat penting dan mestilah difahami sekiranya para pembaca mahu khusyuk dalam solat dan mahu menjadi pengkaji Al-Quran.

Cuba kita lihat dan kaji dari segi kesan ke atas otak apabila kita membezakan antara ayat muhkamat dan ayat mutasyabihat. Di bawah saya muat-turun jadual kesan dari mengkaji ayat-ayat Al-Quran iaitu mengkaji secara muhkamat dan secara mutasyabihat. Nota: lagi sekali saya harap para pembaca semua akan faham bahawa setiap ayat Al-Quran itu adalah ayat muhkamat atau berhukum (bernahu, ber i'rab iaitu rules based), dan ayat yang sama juga adalah ayat mutasyabihat iaitu ayat dalam bentuk serupa atau sama iaitu dalam bentuk contoh berbandingan atau metafora.


Jadual (table) di atas adalah ringkasan kepada penggunaan otak kiri dan kanan apabila kita mengkaji ayat-ayat Al-Quran iaitu dalam bentuk muhkamat dan mutasyabihat. Maafkan saya kerana tidak sempat mengalih-bahasa kepada bahasa Melayu. Tidakkah kita merasa pelik dan hairan bagaimana satu ayat Al-Quran boleh mengaktifkan otak kiri dan kemudian otak kanan, atau sebaliknya? Dan sekiranya kita fikir dan kaji betul-betul yang sebenarnya di dalam solat yang khusyuk itu sendiri sudah pun kita latih dan amalkan "high order thinking skills" (HOTS) atau Kemahiran berfikir aras tinggi (KBAT). Tetapi oleh kerana kita tidak khusyuk dan hanya hafal ayat-ayat Al-Quran seperti burung kakak tua, maka solat kita itu tidak dapat berfungsi malah memberi kesan negatif kepada otak, akal fikiran dan perlakuan umat Islam.


Contoh: Mengimbangkan Otak Kanan dan Otak Kiri

Sekarang cuba kita kaji ayat pertama dalam surah Al-Baqarah iaitu "Alif-Lam-Mim". Ayat init boleh dikaji secara muhkamat dan juga secara mutasyabihat. Apabila kita mengkaji secara muhkmat maka kita mengkaji secara bahasa iaitu nahu dan hukum bahasa Arab. Maka kita akan melihat "alif-lam-mim" dari segi nahu dan i'rab: ianya boleh menjadi mubtada awal, mubtada thani, menjadi khabar, khabar muqaddam, dan sebagainya. Dengan memikirkan segala hukum nahu dan i'rab bahasa Arab ini maka kita telah mengaktifkan dan menggunakan otak sebelah kiri.


Ayat yang sama juga adalah ayat mutasyabihat iaitu ayat yang "nampak serupa" iaitu secara contoh berbandingan atau dalam istilah bahasa ialah "metafora". Apabila kita baca "Alif-Lam-mim itu adalah sebuah kitab" maka tergambar di dalam kepala kita tiga huruf iaitu "alif", "lam", dan "mim", dan juga tergambar akan sebuah kitab. Maka dahi kita akan mula berkerut sebab timbul perasaan kehairanan bagaimana mungkin sebuah kitab hanya ada 3 huruf sahaja? Apa jenis kitab ini yang amat pelik lagi ganjil? Bagaimana dengan hanya 3 huruf sahaja mampu menjelaskan segala perkara? Mampu menjelaskan dengan mendalam dan terperinci?

Sudah tentu juga terfikir oleh kita mana perginya lain-lain huruf yang 28 dalam abjad bahasa Arab tu misalnya "baa", "taa", "tha", "jim", dan sebagainya? Rupa-rupanya jawapan kepada soalan ini terjawab dalam ayat ke-3 iaitu "wajib beriman kepada yang ghaib", maksudnya semua huruf ada tetapi "ghaib" (tersembunyi). Kaedah "ghaib" ini samalah seperti komputer menyimpan data iaitu dalam bentuk digital "0" dan "1" di mana lain-lain huruf semuanya tidak nampak, semuanya ghaib! Pada hal huruf "A", "B", "C", ... "Z" semuanya ada tetapi kita tidak nampak sebab terlindung disebalik digital representations. Begitu juga dengan suara, gambar, bunyi, dan sebagainya semuanya disimpan dalam representasi digital "0" dam "1". Namun bagi orang-orang jahil, bodoh lagi keras kepala maka mereka tidak akan percaya sama sekali data-data boleh disimpan secara ghaib, mereka akan bertegang leher dan bermati-matian mengatakan mana mungkin ada "A", "B", "C", gambar, suara semua tu ... tak nampak pun, yang ada hanyalah "0" dan "1" sahaja.


Setelah kita faham bahawa data-data dan segala ilmu rupanya disimpan dalam bentuk ghaib seperti dalam komputer, maka umat dan ulama Islam akan (harap-harap terbuka hati dan mendapat hidayah) celik mata dan bersungguh-sungguh untuk melihat semula kaedah dan metodologi mengkaji dan memahami ayat-ayat AlQuran, dan harap-harap mereka boleh menerima hakikat bahawa Allah SWT juga ada kebolehan yang lebih hebat dari sistem komputer.


Maka dengan mengkaji secara mutasyabihat iaitu secara metafor (contoh-perbandingan) akan muncul pelbagai gambaran di dalam kepala dan seterusnya mencetus perasaan ingin tahu yang membara dalam jiwa. Dengan keghairahan dan kuriositi ini maka tergambarlah "konteks" dan pertalian antara huruf-huruf (abjad) seperti dijelaskan tadi. Dari konteks dan pertalian ini akan menjuruskan kepada percambahan ilmu. Ini akan menjuruskan kita untuk meneruskan lagi bacaan dan memikirkan ayat-ayat secara muhkamat dan juga mutasyabihat, dan inilah yang dikatakan konsep atau proses "tadabbur" iaitu satu ayat diikuti oleh ayat seterusnya semada secara turutan atau pertalian, dan akhirnya kita akan mendapat satu gambaran yang lengkap. Dan inilah yang dikatakan khusyuk dalam solat iaitu kita tahu dan faham apa yang kita baca secara muhkamat dan juga secara mutasyabihat.


Konsep dan Ayat Penting Yang Mesti ada Dalam Ulumul Quran

Saya ada mengkaji beberapa buku Ulumul Quran dan juga buku-buku tentang "amthal" iaitu contoh-perbandingan atau metafor namun saya tidak jumpa ayat-ayat dari surah Az-Zumar 39:27-29 digunakan untuk menjelaskan konsep dan kahendak "amthal". Padahal ayat-ayat inilah yang menjelaskan dengan mendalam dan terperinci tentang konsep dan kahendak "amthal" (contoh-perbandingan atau metafora). Pada hakikatnya ayat-ayat ini adalah garispanduan penting tentang konsep, kahendak dan kaedah penggunaan "amthal" atau metafora di mana tanpa memahami ayat-ayat ini kita tidak akan faham bagaimana untuk menggunakan ayat-ayat mutasyabihat sebagai hudan atau petunjuk.

Mari kita sama-sama megkaji ayat Az-Zumar 39:27-29 di bawah ini.


Secara ringkasnya ayat 39:27 menjelaskan bahawa kitab Al-Quran menggunakan pendekatan "amthal" (contoh perbandingan) atau "metafora" untuk berfikir. Kemudian pada ayat 39:28 Allah SWT menjelaskan kita mestilah menggunakan bahasa Arab. Apa bezanya metafora dengan bahasa Arab? Kenapa metafora menggunakan otak kanan dan bahasa pula menggunakan otak kiri? Lihat pada akhir ayat 39:27 digunakan "yatazakkarun" iaitu "berfikir atau memikirkan" dan sekiranya kita mendalami wazannya maka kita disuruh berfikir secara bebas dan seluas-luasnya iaitu secara imaginasi (tetapi masih lagi dalam konteks metafora yang diberikan). Maka dari sini kita mula berfikir secara "luar kotak" dan ini akan mengembangkan ilmu, dari sini hidayah atau petunjuk akan muncul dan menjelma. Kita mesti ingat ini bukannya proses "takwil" sebab "takwil" adalah berfikir secara bebas tanpa sempadan atau batas ilmu (without knowledge domain).

Kenapa pada penghujung ayat 39:28 tidak digunakan perkataan "yatazakkarun" atau "yatafakkarun" atau "ya'kilun" atau "yatadabbarun"? Kenapa "bahasa Arab" dikaitkan dengan perkataan "Yattaqun" (bertaqwa iaitu takut dan patuh)? Kenapa pada penghujung ayat 39:29 Allah SWT mengatakan ramai orang yang tidak tahu sedangkan hampir kesemua kitab-kitab tafsir menunjukkan sebaliknya (semuanya kata tahu)?

Kenapa para penafsir tidak menafsir ayat ini sebagai penjelasan kepada metod tafsir Al-Quran bil-Quran iaitu untuk menjelaskan konsep dan kahendak "amthal" (contoh-perbandingan atau metafora) tetapi hampir kesemuanya memberi makna secara literal? Di manakah bermulanya "mathalan" dalam ayat ini dan di mana ianya berakhir? Kenapa Allah SWT meletakkan perkataan syukur "Alhamdulillah"? Adakah sebab para penafsir tahu atau sebab tidak tahu? Atau adakah "Alhamdulillah" ini juga masih lagi dalam konteks "amthal"?



Bersambung ... Insyaallah

Wallahu a'lam.

2 comments:

  1. Pada saya tidak ada ayat mutashabihat dalam al qur`an.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Terima kaseh kerana sudi bertanya/memberi komen.

      Sekiranya Tuan Md Said bermaksud dalam konteks ilmu tafsir yang ada dalam buku-buku ulumul Quran sekarang ini atau apa yang diajar oleh para ustaz dan pensyarah, iaitu ayat-ayat mutasyabihat ialah ayat-ayat Al-Quran yang samar-samar dan mengelirukan maka saya sangat-sangat bersetuju dengan Tuan.

      Tetapi sekiranya dalam konteks Metod QbQ iaitu ayat-ayat mutasyabihat ialah ayat-ayat Al-Quran yang nampak serupa, yang hampir sama, iaitu dalam bentuk amthal (metafora) yang bertujuan sebagai hudan (petunjuk) maka dalam ayat Az-Zumar 39:23 Allah SWT menjelaskan bahwa seluruh 6,236 ayat AL-Quran adalah ayat-ayat mutasyabihat.

      Wallahu a'lam.

      Delete